PUTRAJAYA – Proses peralihan pantas antara Thailand dan Kemboja daripada pemberhentian permusuhan kepada perbincangan susulan yang lebih berstruktur dilihat mencerminkan keazaman kedua negara untuk mencegah konflik berulang serta menstabilkan keadaan secara berkekalan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mengalu-alukan dengan penuh penghargaan persetujuan antara Kemboja dan Thailand mengukuhkan gencatan senjata menerusi rundingan secara langsung yang diadakan di China.
“Peralihan pantas daripada pemberhentian permusuhan kepada perbincangan susulan yang berstruktur mencerminkan keazaman untuk mengelakkan konflik berulang dan menstabilkan keadaan secara lebih berkekalan.
“Saya berterima kasih kepada China atas peranannya sebagai tuan rumah terhadap rundingan ini serta penyediaan suasana yang membolehkan kedua-dua pihak menumpukan perhatian kepada langkah-langkah praktikal bagi mengurangkan risiko dan membina semula keyakinan.
“Usaha pemudah cara seperti ini amat bernilai apabila ia menyokong usaha mengukuhkan inisiatif serantau,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Perdana Putra, di sini tadi.
Pada masa sama, Anwar turut mengiktiraf peranan penting yang dimainkan Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump yang membantu memeterai Perjanjian Damai Kuala Lumpur.
Katanya, perjanjian damai itu menjadi asas kepada pemberhentian permusuhan.
“Penglibatan tersebut menyumbang kepada penciptaan ruang politik yang membolehkan pihak-pihak terlibat berundur daripada konfrontasi dan beriltizam untuk menahan diri,” katanya. – KOSMO! ONLINE














