fbpx
Tangkap layar video tular memaparkan anggota polis menasihati kanak-kanak yang dibawa ke balai.

Kanak-kanak atau dewasa, semua takut polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Gelagat seorang ibu membawa anak-anaknya yang bergaduh di dalam kereta ke balai polis sebagai satu ‘pengajaran’, menarik perhatian orang ramai apabila rakaman kejadian itu tular di media sosial.

Perkongsian yang dimuat naik semula di Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu memaparkan beberapa kanak-kanak di bahagian belakang sebuah kenderaan menangis apabila seorang anggota polis menghampiri mereka.

Dalam hantaran asal yang dimuat naik di TikTok @Eydarosli1, wanita itu bertindak membawa anak-anaknya ke balai polis berhampiran selepas kanak-kanak itu bergaduh sesama sendiri di dalam kereta.

“Anak-anak bergaduh dalam kereta lagi, jadi ibu tiada pilihan, terpaksa bawa pergi balai bagi abang polis selesaikan. Terima kasih abang polis, depa insaf terus,” tulisnya.

Kelihatan anggota polis berkenaan kemudiannya menasihati kanak-kanak tersebut agar tidak bergaduh sesama sendiri dan mendengar cakap ibu mereka dalam nada yang lembut.

Dalam nada berseloroh, PDRM menerusi kapsyen berkata ‘Abang polis tolong… ada budak bergaduh’ sambil menggambarkan pelbagai kerenah yang dapat disaksikan apabila anak-anak membesar.

“Bila anak-anak membesar, pelbagai kerenah dapat kita saksikan. Ada yang merajuk, ada yang bergaduh dan ada juga yang terus ‘kecut perut’ apabila dibawa ke balai polis oleh si ibu sebagai pengajaran,” kata hantaran itu.

Menurut PDRM, daripada kes besar hinggalah isu anak kecil bergaduh, pihak polis sentiasa menjadi tempat rujukan untuk membantu, menasihati dan mendidik masyarakat, termasuk dalam situasi santai yang mengundang senyuman.

Dalam masa sama, PDRM turut menitip pesanan kepada kanak-kanak terbabit agar tidak nakal serta belajar rajin-rajin supaya dapat membanggakan ibu bapa apabila dewasa kelak.

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna media sosial terhibur dengan gelagat tersebut, malah ada yang memuji pendekatan ibu berkenaan sebagai cara mendidik anak-anak tentang disiplin dan kawalan emosi.

Selain itu ramai juga yang memuji anggota polis tersebut yang dianggap ‘sporting’ kerana turut sudi berlakon dalam menasihati kanak-kanak itu untuk mendengar kata ibu bapa.

“Orang dulu nak takutkan anak guna hantu, zaman sekarang tak jalan agaknya. Kena guna polis,” komen Diba.

“Abang polis pun lembut sungguh bercakap nasihat budak. Kalau macam ini saya pun nak bergaduh,” komen Ayumey.

“Musim cuti sekolah harap balai polis boleh buat hari terbuka supaya mak bapa bertenang sikit dekat rumah bila anak-anak bergaduh,” komen Mal pula. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN