PUTRAJAYA – Malaysia berpendirian bahawa bumi Gaza perlu dikekalkan keamanan selain menegaskan tidak boleh berlaku kembali sebarang bentuk keganasan dalam skala besar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mengambil maklum perbincangan terkini yang diadakan di Florida yang bertujuan menangani fasa seterusnya dalam proses keamanan di Gaza.
“Perlu ditegaskan dengan jelas bahawa tidak boleh ada kembali sebarang keganasan berskala besar (di Gaza).
“Sebarang penyambungan semula keganasan akan mengenakan kos yang tidak dapat diterima masyarakat dan seterusnya menghakis prospek keamanan yang sedia rapuh.
“Israel mesti dipertanggungjawabkan atas tindakan serta kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Perdana Putra, di sini tadi.
Pada masa sama, Malaysia turut menyelaraskan pendirian sepenuhnya dengan kedudukan yang diambil kumpulan besar negara serta Pertubuhan Kerjasama Islam dalam menolak pengiktirafan Israel terhadap wilayah yang dipanggil Somaliland.
“Kami menyatakan tentangan tegas dan tidak berbelah bahagi terhadap sebarang percubaan untuk menggunakan Somaliland atau mana-mana wilayah lain sebagai destinasi pemindahan secara paksa atau perpindahan penduduk rakyat Palestin dari Gaza.
“Cadangan sedemikian sama sekali tidak boleh diterima, melanggar undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan serta hanya akan terus mengekalkan ketidakadilan dan bukannya menyumbang kepada keamanan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














