fbpx
Gambar hiasan.

Baru seminggu dapat gaji, dah ‘korek’ tabung lepas balik bercuti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Gaji masuk belum sempat bernafas, duit dah tinggal sisa.”

Itu antara luahan beberapa pengguna media sosial yang berkongsi situasi kewangan masing-masing selepas pulang daripada bercuti panjang sempena Hari Krismas, cuti sekolah dan hujung tahun.

Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati, rata-ratanya memaklumkan mereka mula menerima gaji antara 18 hingga 28 Disember lalu, namun baru sahaja masuk minggu kedua, kebanyakan wang tersebut sudah hampir habis digunakan untuk menampung pelbagai perbelanjaan sepanjang tempoh cuti.

Lebih membimbangkan, ada dalam kalangan mereka mengakui terpaksa ‘mengorek’ tabung kecemasan bagi meneruskan kelangsungan hidup harian sementara menunggu gaji seterusnya bulan hadapan.

“Gaji 20 Disember, 30 Disember dah kena kira duit lain. Tabung kecemasan pun terpaksa sentuh sikit,” kongsi Aizat.

Seorang lagi pengguna, Nurul Asyikin berkata, perbelanjaan meningkat mendadak kerana mahu membawa keluarga bercuti memandangkan anak-anak sedang bercuti sekolah.

“Duit dah banyak habis bawa keluarga bercuti. Sewa penginapan, makan luar, minyak kereta, tol semua naik. Balik rumah terus rasa ‘kosong’,” katanya.

Selain kos percutian, ada juga yang menyenaraikan perbelanjaan lain seperti persiapan sekolah anak-anak, bayaran bil tertunggak serta keperluan harian yang semakin meningkat menjelang awal tahun.

Situasi itu turut mencetuskan perbincangan dalam kalangan orang ramai terutama ibu bapa yang mengakui berdepan nasib sama, malah ada berseloroh bahawa bulan Januari bakal menjadi ‘bulan berjimat ekstrem’.

“Sekarang fasa ‘survival mode’. Anak empat orang masih sekolah, yuran mereka sahaja hampir RM2,000. Baju sekolah pun kena beli seorang sepasang dahulu, gaji bulan depan baru tambah lagi sepasang. Harap gaji bulan depan cepat sampai,” tulis Mat Halim.

Dalam pada itu, ada juga yang mengambil pengajaran agar lebih berhati-hati mengurus kewangan pada musim cuti akan datang supaya tidak terlalu bergantung kepada simpanan kecemasan.

“Cuti memang seronok, tapi lepas tu realiti yang menyakitkan. Bulan Februari puasa, mesti nak kena balik kampung juga berbuka dengan keluarga, kemudian Mac dah raya, baju raya lagi, semua duit,” luah Ayuni. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN