PETALING JAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi syarikat Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) menyediakan sebanyak 25 unit tong sampah di sekitar kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur sempena Sambutan Ambang Tahun Baharu yang bakal berlangsung pada malam, esok.
Menurut DBKL, penyediaan tong sampah jenis MGB240 liter itu ditempatkan di lokasi-lokasi tumpuan dengan jarak kira-kira 50 meter antara setiap tong bagi memudahkan orang ramai menguruskan sisa secara lebih teratur sepanjang sambutan berlangsung.
Katanya, sebanyak 10 unit tong sampah ditempatkan di laluan dari Pavilion Kuala Lumpur hingga ke simpang Changkat Bukit Bintang, manakala 10 unit lagi disediakan dari Starhill Gallery hingga ke Stesen Transit Aliran Massa Bukit Bintang.
“Selain itu, tiga unit tong sampah diletakkan di Jalan Sultan Ismail iaitu dari Lot 10 hingga simpang sebelum Hotel Parkroyal, manakala dua unit lagi disediakan di Jalan Sultan Ismail dari Wolo Hotel hingga ke Maybank,” katanya menerusi hantaran di Instagram, hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai yang hadir ke sambutan Ambang Tahun Baharu di Bukit Bintang diminta menggunakan kemudahan tong sampah yang disediakan dan tidak membuang sampah merata-rata.
DBKL berkata, langkah tersebut bertujuan memastikan kebersihan kawasan sentiasa terjaga sekali gus mewujudkan suasana yang selesa dan selamat untuk semua pengunjung sepanjang sambutan berlangsung. – KOSMO! ONLINE














