PETALING JAYA – Seorang pemancing, Muhammad Zakir Arif Rahim, 28, tidak menyangka umpan cacing yang digunakkannya berjaya menaikkan ikan geruk seberat 1.2 kilogram (kg) sekali gus diiystiharkan juara pertandingan memancing Surfcasting Challenge Port Dickson 2025 di Pengkalan Sungai Sekawang semalam.
Dia yang datang dari Kajang, Selangor dan bekerja sendiri membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 menewaskan lebih 500 pemancing dari seluruh negara yang menyertai pertandingan tahunan tersebut.
“Saya tidak sangka boleh menang. Ini rezeki hujung tahun untuk keluarga,” katanya selepas menerima hadiah yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli.
Tempat kedua dimenangi oleh Mohamad Sobri Sahda dari Petaling Jaya, Selangor dengan tangkapan sembilang seberat 695 gram menerima RM3,000, manakala tempat ketiga milik Mispan Zaidin, 67, dari Banting dengan ikan duri seberat 664 gram dan membawa pulang RM1,000.

Pertandingan ini dianjurkan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Linggi bersama Nadi Media Events dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Sekawang serta sokongan Tourism Malaysia sebagai usaha menyokong promosi agro pelancongan luar bandar menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Lebih 200 ekor ikan pelbagai spesies berjaya dinaikkan sepanjang acara tersebut antaranya duri, gelama, semilang, belukang, tetanda, tetuka, malong, daun baru, serkut, yu cicak dan buntal.
Penduduk kampung turut mengambil peluang menjana pendapatan melalui jualan makanan dan minuman, menjadikan pertandingan ini sebagai acara komuniti berimpak tinggi yang mampu menjadi produk pelancongan tahunan negeri.
Penganjur memaklumkan bahawa kejayaan penganjuran tahun ini akan menjadi pemangkin untuk meneruskan acara ini pada skala lebih besar tahun hadapan, seiring usaha menyemarakkan sambutan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.














