BANGKOK – Pusat Tindakan Periuk Api Thailand (TMAC) menyelar Kemboja kerana terus meletakkan periuk api di sempadan bersama dalam tindakan yang melanggar Konvensyen Ottawa dan perjanjian gencatan senjata, lapor laman berita Thai PBS World semalam.
Jurucakap TMAC, Kolonel Siwa Whang-akat berkata, terdapat bukti jelas ada periuk api PMN-2 yang meletup dan menyebabkan seorang askar Thai berpangkat prebet putus kaki.
Anggota tentera berkenaan, Narin Ngaopra baru ditempatkan di Gunung Satta Som, daerah Kantharalak dalam wilayah Si Sa Ket kelmarin selepas pasukan Kemboja berundur.
Menurutnya, tentera Thailand yang memeriksa tempat kejadian menemui beberapa barang ditinggalkan oleh tentera Kemboja.
Ia termasuk buku nota menggariskan lokasi sistem penentu kedudukan global (GPS) periuk api dan bilangan periuk api yang diagihkan kepada tenteranya untuk ditanam.
Katanya, masih terdapat banyak periuk api yang masih belum dimusnahkan.
Sabtu lalu, Thailand dan Kemboja bersetuju mengadakan gencatan senjata serta-merta, dengan kedua-dua pihak berjani menamatkan pertempuran yang telah berlarutan lebih tiga minggu. – AGENSI














