KOTA TINGGI – Seorang pemandu e-hailing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Pengerang di sini hari ini atas tiga pertuduhan menyebabkan kematian tiga pemuda dalam kemalangan di Lebuh Raya E22 Senai-Desaru, Oktober lalu.
Tertuduh, Loo Chun Hao, 32, yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda akibat kemalangan itu membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, dia sebagai pemandu kenderaan Toyota Fortuner telah memandu dengan berbahaya sehingga menyebabkan kematian terhadap Muhammad Hafizhan Hanafi Norhaizal, 21; Fazrizal Izuan Zuhaimi, 20; dan Muhammad Abdul Khalid Ab Rashid, 19.
Perbuatan itu dilakukan pada 11 Oktober 2025 lebih kurang pukul 11.45 pagi bertempat di Kilometer 56 Lebuh Raya E22 Senai-Desaru.
Dalam pertuduhan berasingan, tertuduh turut mengaku tidak bersalah menyedari dalam milikannya barang larangan iaitu 24 karton rokok pelbagai jenis atau 4,800 batang rokok yang ditaksirkan bernilai RM3,894.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nor Ayu Hidayah Mohd Safri manakala tertuduh diwakili peguam K. Saravanan. Mahkamah kemudian membenarkan jumlah ikat jamin keseluruhan sebanyak RM15,000 dan menetapkan 6 Februari depan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen.
Pada 11 Oktober lalu, Kosmo! melaporkan tiga individu terkorban dalam kemalangan tiga kenderaan yang mana dua daripada kenderaan itu terbakar di KM56, SDE22, Kota Tinggi. Dalam kemalangan itu, sebuah Toyota Fortuner yang terbakar didapati membawa rokok seludup yang mana pemandunya cedera parah.- KOSMO! ONLINE














