ALOR SETAR – Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berharap isu penggunaan gelaran ‘doktor’ tidak mengalihkan fokus daripada tanggungjawab utama kementerian dalam memperkasa pembangunan belia dan sukan negara.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani berkata, isu berkenaan telah pun dijelaskan oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan tidak wajar terus dipolemikkan sehingga menjejaskan fokus utama kementerian.
“Saya rasa MMC pun sudah menjawab perkara ini. Jadi fokus utama saya sekarang adalah memastikan segala hasrat kerajaan dapat direalisasikan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi membentuk ekosistem sukan yang lebih baik serta melahirkan belia berkualiti,” katanya selepas melawat Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah, hari ini.
Katanya, KBS sebenarnya memikul tanggungjawab yang besar dan strategik dalam mencorakkan masa depan kepimpinan belia negara serta pembangunan sukan secara menyeluruh.
“Sekarang ini masanya untuk kita bekerja. Inilah masa untuk kita buktikan bahawa KBS adalah sebuah kementerian yang besar dengan tanggungjawab yang cukup hebat, khususnya dalam membentuk generasi pemimpin belia pada masa hadapan,” ujarnya.
Tambahnya, segala isu sampingan tidak seharusnya mengganggu momentum kerja dan perancangan yang sedang dilaksanakan oleh kementerian demi kepentingan belia dan atlet negara.
“Berikan saya ruang dan masa untuk kita terus mara ke hadapan, memastikan pembangunan belia dan sukan dapat diperkasakan sehingga ke tahap yang lebih tinggi, insya-Allah,” katanya.
Pada 24 Disember lalu, MMC memaklumkan graduan perubatan daripada suatu program ijazah perubatan boleh menggunakan gelaran akademik ‘Dr’ sebagai tanda kelayakan akademik mereka.
Gelaran itu juga bukan eksklusif kepada pengamal perubatan saja kerana ia juga turut digunakan oleh doktor pergigian, doktor veterinar serta pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam pelbagai bidang akademik.
Namun, sebagai prinsip umum, semua individu yang ingin mengamal perubatan di negara ini hendaklah berdaftar dengan MMC dan memegang sijil Perakuan Amalan Tahunan (PAT) yang sah sebelum menjalankan sebarang bentuk amalan perubatan. – KOSMO! ONLINE














