JAKARTA – Sebuah majlis perkahwinan di Jakarta Utara menjadi perhatian ramai apabila pengantin lelaki menyerahkan sebuah kereta Mazda 3 Hatchback dan skuter Honda PCX 160 sebagai hantaran kepada pengantin perempuan, lapor laman berita Detik.
Dalam satu video tular di media sosial, dua kenderaan itu dihias dengan dekorasi bunga dan kain renda.
Harga kereta tersebut di pasaran Indonesia adalah sekitar 580 juta rupiah (RM140,000), manakala skuter model itu berharga 34 juta rupiah (RM8,200).
Menurut laporan, pengantin lelaki bernama Eko Setiawan merupakan pemilik kedai runcit dan ejen telur di Jakarta Utara.
Menurut Eko, selain dua kenderaan tersebut, dia turut memberikan pelbagai hasil bumi kepada isterinya.
“Ia termasuk beras, pisang, kelapa, bawang, sayur, ternakan seperti kambing dan ayam, peralatan dapur, barangan keperluan wanita dan peralatan kelengkapan rumah,” katanya.
Tidak cukup dengan itu, Eko turut menyerahkan mas kahwin sebanyak 2 juta rupiah (RM480) serta barangan kemas 11 gram.
“Ia sebagai penghargaan kepada isteri kerana dia setia bersama saya sejak saya tidak mempunyai harta,” katanya.
Eko pernah bekerja sebagai penunggang teksi motosikal sebelum dia akhirnya membuka perniagaan sendiri. – AGENSI














