YANGON – Pengundian bermula hari ini dalam pilihan raya Myanmar yang tidak melibatkan seluruh negara tetapi junta pemerintah mempromosikannya sebagai satu kepulangan kepada demokrasi.
Ia diadakan lima tahun selepas junta tentera menggulingkan kerajaan terakhir yang dipilih secara demokrasi, sekali gus mencetuskan perang saudara.
Bekas pemimpin awam, Aung San Suu Kyi masih dipenjarakan, manakala partinya yang sangat popular telah dibubarkan dan tidak mengambil bahagian.
Para aktivis, diplomat Barat dan ketua hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam pengundian berperingkat selama sebulan itu.
Mereka menyatakan bahawa undi tersebut dipenuhi sekutu tentera dan disertai tindakan keras yang ketara terhadap perbezaan pendapat.
Parti Perpaduan, Solidariti dan Pembangunan yang pro-tentera dijangka muncul sebagai parti terbesar selepas keputusann diumumkan, dalam apa yang dikatakan pengkritik sebagai penjenamaan semula pemerintahan tentera.
Negara Asia Tenggara itu mempunyai penduduk sekitar 50 juta orang itu terus dilanda perang saudara dan pengundian tidak akan dijalankan di kawasan yang dikuasai pemberontak.
Di wilayah yang dikawal junta, pusingan pertama daripada tiga pusingan pengundian bermula pada pukul 6 pagi (waktu tempatan), termasuk di kawasan pilihan raya di bandar Yangon, Mandalay dan ibu negara Naypyidaw.
“Pilihan raya ini sangat penting dan akan membawa yang terbaik untuk negara,” kata seorang pengundi pertama, Bo Saw di sebuah pusat pengundian di Perbandaran Kamayut, Yangon, berhampiran rumah Suu Kyi yang kini kosong.
“Keutamaan pertama sepatutnya memulihkan keadaan yang selamat dan aman,” kata lelaki berusia 63 tahun itu kepada AFP.
Barisan panjang pengundi pernah kelihatan di luar pusat pengundian dalam pilihan raya 2020 yang kemudian diisytiharkan tidak sah oleh tentera selepas menggulingkan Suu Kyi dan merampas kuasa pada 2021.
Namun kali ini, bilangan wartawan dan petugas pilihan raya melebihi jumlah pengundi awal di sebuah pusat pengundian di pusat bandar berhampiran Pagoda Sule, Yangon yang berkilauan, lokasi demonstrasi besar-besaran pro-demokrasi selepas rampasan kuasa.
Dalam kalangan segelintir pengundi awal, Swe Maw, 45, menolak kritikan antarabangsa.
“Ia bukan perkara penting, Akan sentiasa ada orang yang suka dan tidak suka,” katanya. – AFP














