PETALING JAYA – Aliran trafik menuju masuk ke Plaza Tol Gombak dilaporkan sesak sejak pukul 11 pagi ekoran pertambahan kenderaan sempena musim cuti sekolah ini.
Menerusi tinjauan di televisyen litar tertutup Lembaga Lebuh Raya, kesesakan itu menyebabkan aliran trafik tinggi di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dari Batu Caves dan Ukay Perdana.
Kesesakan itu turut memberi kesan kepada aliran trafik di Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (Duke) dan Lebuh Raya Setiawangsa-Pantai (SPE).
Trafik bagaimanapun kelihatan lancar dan terkawal apabila memasuki Genting Sempah dan Bentong.
Menurut beberapa hantaran pengguna media sosial pula, aliran trafik di Gohtong Jaya menuju ke Genting Highlands turut dilaporkan sesak teruk akibat pembaikan jalan.
Sementara itu, di Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) E26, di KM 11.3 arah Timur dari Bandar Saujana Putra ke Ayer Hitam terdapat lori terbakar sehingga menyebabkan lorong kiri dan kanan terhalang.
Trafik sesak dilaporkan sesak teruk sehingga lima kilometer ekoran hanya lorong kecemasan sahaja yang baru dibuka. – KOSMO! ONLINE














