PELANCONGAN di negeri-negeri yang kaya dengan tarikan alam semula jadi, sejarah dan budaya menawarkan potensi besar untuk ekonomi dan pembangunan komuniti.
Destinasi seperti Lenggong, Perak membuktikan bahawa kawasan luar bandar juga mampu menarik minat pelancong tempatan dan antarabangsa.
Namun, walaupun banyak peluang wujud, pembangunan pelancongan menghadapi beberapa kekangan, termasuk akses, infrastruktur, pengurusan produk tempatan, dan kesiapsiagaan komuniti.
Pengerusi Jawatankuasa Geokomuniti di bawah Badan Pengurusan Lenggong Geopark, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, berkata walaupun komuniti menghasilkan barangan unik, sekiranya tanpa platform, kurasi dan strategi pemasaran, produk sukar mendapat perhatian pelancong.
“Komuniti kita hasilkan banyak barangan unik, termasuk kraftangan, makanan warisan dan cenderamata yang mencerminkan budaya tempatan.
“Tapi kalau tiada platform, pemilihan produk yang teratur dan strategi promosi, pelancong yang berminat dengan budaya, sejarah dan pengalaman komuniti, sukar untuk perasan dan menghargainya,” katanya.
Ahli Parlimen Lenggong itu turut mengakui isu pengangkutan dan kesalinghubungan masih menjadi cabaran di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, penyelesaian memerlukan kerjasama pelbagai.
“Kita perlukan pihak yang uruskan bisnes pengangkutan dan rantaian supaya pergerakan produk dan pelancong lebih teratur.
“Kerjasama dengan agensi, universiti dan komuniti juga penting untuk pastikan pengurusan pengangkutan berjalan dengan lebih baik di kawasan ini,” katanya.
Selain pengangkutan, Shamsul Anuar turut berkata, penglibatan beberapa universiti seperti Universiti Teknologi Malaysia penting untuk membangunkan produk tempatan serta membimbing usahawan komuniti.
Universiti terlibat dalam kajian saintifik, pembangunan produk, serta latihan kepada komuniti supaya hasil tempatan dapat dipasarkan dengan lebih berkesan dan mampan.
Dengan sokongan akademik ini, usahawan tempatan bukan sahaja menghasilkan produk, tetapi juga memahami keperluan pasaran, strategi promosi, dan pembangunan tema yang sesuai dengan identiti kawasan.
Shamsul Anuar menekankan bahawa pembangunan pelancongan juga bergantung kepada kesiapsiagaan komuniti dalam menyokong aktiviti dan program di pusat komuniti.
“Pusat komuniti mesti dimanfaatkan supaya komuniti boleh terlibat secara langsung, bukan sekadar melihat, tetapi turut serta dalam program dan aktiviti yang dijalankan.
“Melalui latihan, bimbingan, dan penglibatan aktif komuniti, produk tempatan bukan sahaja dapat dipamerkan dengan lebih menarik, tetapi juga meningkatkan pengalaman pelancong yang ingin merasai budaya, sejarah, dan kreativiti setempat,” katanya.
Untuk rekod, Lenggong menjadi tumpuan pelancongan kerana memiliki Lenggong Valley, yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2012 kerana kepentingan arkeologi dan paleontologinya, termasuk penemuan Perak Man, rangka manusia prasejarah berusia lebih 10,000 tahun.
Lenggong juga diiktiraf sebagai Geopark Global UNESCO pada bulan September lalu.
Berdasarkan rekod rasmi, kira-kira 22,000 pelancong direkodkan menginap di Lenggong pada 2022, sebelum melonjak kepada 154,000 orang pada 2024. -KOSMO! ONLINE














