BEIJING – Seorang pekerja kilang di China terpaksa menjalani pemindahan telinga yang tercabut dengan doktor-doktor meletakkan organ itu pada kaki kanan pesakit, lapor portal berita MSNews.
Mangsa wanita yang dikenali sebagai Sun, mengalami kemalangan ngeri di tempat kerjayanya. Doktor-doktor meletakkan telinga mangsa di kakinya selama lima bulan sebelum mereka menyambungkannya di tempat sepatutnya.
Pada mulanya, rambut Sun tersangkut pada sebuah mesin, April lalu. Kemalangan itu menyebabkan telinga kiri mangsa putus dan sebahagian kulit kepalanya koyak..
Ketika tiba di hospital, lukanya tercemar, menyebabkan penyambungan semula tidak dapat dilakukan pada waktu itu.
Pakar-pakar bedah memilih kaki kerana salur darah dan keadaan kulit yang hampir sama dengan telinga.
Pembedahan tersebut mengambil masa kira-kira sepuluh jam untuk diselesaikan
Bagi tempoh beberapa bulan berikutnya, Sun memakai kasut kanan yang longgar bagi melindungi telinganya.
Selepas lima bulan tempoh pemulihan, doktor-doktor memindahkan telinga tersebut ke kepalanya.
“Saya sangka saya akan hidup dengan kecacatan ini sepanjang hayat saya,” kata Sun. – AGENSI














