fbpx
Gambar hiasan.

MYFutureJobs tawar 620,000 peluang kerja sejak 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Lebih 620,000 penempatan pekerjaan berjaya direkodkan menerusi portal MYFutureJobs sejak 2023 hingga 19 Disember lalu membuktikan ketahanan ekonomi negara di bawah pentadbiran Kerajaan Madani meskipun berdepan ketidaktentuan global.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan dalam satu kenyataan berkata, jumlah penempatan pekerjaan yang direkodkan setakat ini selari dengan penilaian positif Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) terhadap prestasi ekonomi Malaysia.

Menurut beliau, pengiktirafan IMF itu mencerminkan kekuatan asas domestik negara serta keberkesanan dasar fiskal dan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pengiktirafan IMF membuktikan keupayaan Malaysia untuk kekal berdaya tahan walaupun berdepan cabaran perdagangan global dan ketidaktentuan dasar antarabangsa, termasuk kesan tarif tinggi yang dikenakan oleh Amerika Syarikat.,” katanya.

Tambah Ramanan, perkembangan positif tersebut didorong oleh permintaan domestik yang kukuh, pelaburan berterusan serta pertumbuhan guna tenaga yang sihat di pasaran buruh negara.

Dalam masa sama, beliau menegaskan ketahanan ekonomi perlu diterjemahkan kepada manfaat langsung kepada rakyat, khususnya melalui penyediaan peluang pekerjaan berkualiti, gaji yang adil dan pengukuhan tenaga kerja tempatan.

“Fokus kami adalah memastikan pertumbuhan inklusif serta melengkapkan rakyat Malaysia dengan kemahiran relevan bagi menghadapi pasaran buruh yang semakin dinamik,” ujarnya.

Jelasnya, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan terus memperkukuh inisiatif MYFutureJobs sebagai platform utama kerajaan bagi padanan pekerjaan dan penyelarasan pasaran buruh.

Beliau berkata, usaha itu termasuk meningkatkan keupayaan portal berkenaan melalui penggunaan teknologi digital, kerjasama strategik bersama majikan serta pemprofilan pekerja yang lebih menyeluruh.

Selain MYFutureJobs, Kesuma turut memperkukuh pasaran buruh negara melalui pelbagai inisiatif strategik bersama Perkeso, HRD Corp, Jabatan Tenaga Manusia dan TalentCorp, termasuk pemadanan kerja aktif, pembangunan kemahiran dan pelaksanaan Dasar Gaji Progresif.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI