fbpx
Tangkap layar kamera litar tertutup (CCTV) dikongsi oleh @adivanderwoodsen di Threads.

Lepas Putrajaya, pencuri selipar ke Setapak pula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki yang didakwa mencuri selipar di sebuah kondominium di Setapak, Kuala Lumpur mengundang kemarahan apabila perbuatannya bukan sahaja dirakam kamera litar tertutup (CCTV), malah dia dikatakan sempat memilih kasut yang diingini.

Kejadian itu dipercayai berlaku sekitar 11.35 malam, 22 Disember lalu berdasarkan paparan tarikh dan masa pada rakaman CCTV sebuah unit kediaman di kondominium berkenaan.

Menerusi perkongsian video di Threads oleh @adivanderwoodsen, lelaki terbabit dilihat mengambil selipar dan memilih kasut yang diletakkan di hadapan pintu sebuah unit sebelum berlalu pergi.

“Pencuri kasut siap boleh pilih-pilih nak kasut mana! Dah la kasut aku baru beli ya. Pemilik tidak bertanggungjawab pergi buat airbnb (rumah penginapan) lepastu pelanggan dia curi kasut aku!,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Tambahnya, walaupun dia tidak meletakkan kasut mahal di luar namun, perkara ini tidak akan terjadi sekiranya pemilik unit lain tidak melanggar peraturan dengan membuat rumahnya sebagai rumah penginapan.

Perkongsian tersebut mendapat perhatian pengguna media sosial yang rata-rata turut berang dengan tindakan berkenaan.

“Bagi saja pengajaran dekat orang-orang begini, elok-elok kediaman persendirian, ada orang macam ni tidak jadi persendirian dah,” komen Shafiera.

“Tidak kisah mencuri selipar sahaja pun, salah tetap salah. Sebab jenis pencuri macam ni la dekat masjid pun tidak selamat. Jangan biasakan orang mencuri dengan ‘selipar saja pun’,” kata Shazuani.

“Sebenarnya bukan soal kasut murah ke mahal tapi sakit hati tau barang kena curi padahal kita punya rumah tiga tahap keselamatan dah. Kalau aku pun geram, yang buat kerja bukan jiran-jiran pula tu,” komen Nuqman Azman.

Sebelum ini, kecoh beberapa kes kecurian kasut dilaporkan berlaku di kawasan perumahan di Presint 9, Putrajaya.

Ahli Parlimen Putrajaya, Dr. Radzi Jidin dalam satu perkongsian video berkata, antara kawasan terlibat adalah Fasa 1, Fasa 5, Fasa 6 dan Fasa 12 yang didakwa menjadi sasaran individu tidak bertanggungjawab. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI