IPOH – Seorang lelaki dipercayai mengalami masalah mental ditahan polis selepas mencederakan ibu bapanya menggunakan pedang samurai dalam kejadian amuk di Persiaran Putra, Bandar Baru Putra, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan bagi kes tersebut melalui talian 999 pada pukul 6.41 pagi.
Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis ke lokasi kejadian dan mendapati suspek yang merupakan warga tempatan telah mencederakan ahli keluarganya.
“Susulan kejadian itu, suspek berusia 29 tahun melarikan diri dengan memanjat tembok dan bumbung rumah sebelum memasuki kediaman jiran berhampiran.
“Lelaki itu bagaimanapun berjaya dikesan dan ditangkap oleh anggota dari Balai Polis Tanjung Rambutan di rumah jiran berkenaan tanpa sebarang insiden tidak diingini,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, ibu bapa mangsa masing-masing berusia 57 tahun yang cedera dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.
Katanya, siasatan awal ke atas suspek mendapati lelaki itu mempunyai rekod rawatan kesihatan mental dan dia pernah menerima rawatan di sebuah hospital psikiatri sebelum ini.
“Berdasarkan siasatan, suspek mendakwa tidak sedarkan diri ketika bertindak demikian selain memberitahu yang dia berasa dikejar hantu semasa kejadian berlaku. Bagaimanapun siasatan terperinci sedang dijalankan pasukan penyiasat bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian amuk itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE














