PYONGYANG – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un mengarahkan pegawai-pegawainya meningkatkan pengeluaran peluru berpandu dan membina lebih banyak kilang bagi memenuhi keperluan ketenteraan Pyongyang, lapor media pemerintah semalam.
Pyongyang meningkatkan ujian misil dengan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bertujuan untuk meningkatkan keupayaan serangan tepat, mencabar Amerika Syarikat dan Korea Selatan serta menguji senjata sebelum dieksport kepada sekutu utama, Russia.
Dalam lawatan ke kilang-kilang senjata dengan diiringi pegawai-pegawai kanannya, Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) melaporkan bahawa Jong-un elah mengarahkan kilang-kilang itu bersiap sedia untuk tahun 2026 yang sibuk.
Pemimpin Korea Utara itu berkata, mereka perlu menambah lagi kapasiti pengeluaran keseluruhan untuk menampung permintaan daripada angkatan tentera Pyongyang dan mengarahkan pembinaan kilang senjata baharu, lapor KCNA.
“Sektor pengeluaran misil dan peluru adalah sangat penting dalam memperkukuh langkah pencegahan perang,” kata Jong-un.
Korea Utara dan Russia semakin rapat sejak Moscow melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine hampir empat tahun lalu, dan Pyongyang telah menghantar tentera untuk berperang bersama Moscow.
Pyongyang turut membekalkan peluru artileri, misil dan sistem roket jarak jauh.
Sebagai balasan, Russia menghantar bantuan kewangan, teknologi ketenteraan dan bekalan makanan serta tenaga kepada Korea Utara, kata penganalisis-penganalisis. – AFP














