KUALA NERUS – Seorang kakitangan sebuah syarikat bas ekspres maut manakala seorang lagi cedera parah setelah kenderaan syarikat dinaiki mereka merempuh sebatang pokok berhampiran Balai Polis Gong Badak di sini hari ini.
Dalam kemalangan pada pukul 6.10 pagi itu, mangsa, Ahmad Zabani, 25, yang merupakan pegawai operasi syarikat itu meninggal dunia di lokasi kejadian.
Seorang lagi mangsa, Azizi Kamarudin, 38, yang mekanik syarikat sama pula cedera parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan ke pusat pelepasan utama bas ekspres tersebut di Gong Badak di sini.
“Mereka dikatakan dalam perjalanan pulang dari bengkel syarikat sama yang terletak di Kemaman.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan syarikat jenis Proton Persona dinaiki mereka dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu lalu terbabas ke tepi jalan,” katanya di sini hari ini.
Azli berkata, kereta dinaiki Ahmad dan Azizi kemudiannya merempuh sebatang pokok yang terdapat di tepi jalan.
Beliau berkata, pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan Ahmad sudah meninggal dunia manakala Azizi pula dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) di sini untuk menerima rawatan. – KOSMO! ONLINE














