KUALA LUMPUR – Ahli keluarga dua beranak yang ditemui meninggal dunia dalam kebakaran di sebuah rumah di Flat Sentul Utama, Jalan Dato Sena, di sini hari ini mengakui terkejut dan masih bersedih dengan apa yang berlaku.
Anak kedua mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Zul, 60-an berkata, kali terakhir dia bertemu ibunya, Jamilah, 83, baru-baru ini yang menetap bersama adik lelaki bongsunya, Zuzaini, 58.
“Saya dimaklumkan mengenai kejadian menimpa mak dan adik kira-kira pukul 7 pagi tadi dan terkejut mendengar perkara itu. Saya sedih namun reda dengan semua yang berlaku.
“Proses bedah siasat dilakukan pada 3 petang tadi dan insya-Allah pengebumian pagi, esok,” katanya ketika ditemui di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) di sini, hari ini.
Zul berkata, sebelum ini dia dan adik-beradik lain akan menjaga ibu mereka secara bergilir-gilir sama ada dibawa ke rumah masing-masing atau di rumah wanita itu.
“Baru-baru ini mak duduk dengan saya selepas keluar daripada hospital dan apabila keadaannya sudah baik serta boleh berjalan dia mahu pulang ke rumahnya sendiri,” katanya.
Sementara itu, mengenai dakwaan adiknya dikatakan membakar barang dalam rumah sebelum ini, Zul berkata, dia tidak mengetahui perkara terbabit dan sepanjang pengetahuannya adiknya itu tidak pernah melakukan perbuatan berkenaan.
Katanya, dia mengucapkan terima kasih kepada jiran di rumah ibunya yang cuba membantu ketika kejadian berlaku.
Terdahulu media melaporkan, dua beranak ditemukan meninggal dunia dalam kebakaran di Sentul pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur berkata, jasad wanita warga emas berusia 82 tahun dan anak lelakinya berumur 58 tahun ditemukan di dalam tandas rumah itu. – KOSMO! ONLINE














