PETALING JAYA – Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menziarahi pasangan suami isteri bersama bayi kembar hasil In-Vitro Fertilisation (IVF) tajaan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF), semalam.
Menerusi hantaran di media sosial, pasangan berkenaan telah mendirikan rumah tangga sejak tujuh tahun lalu meluahkan rasa syukur apabila terpilih menjalani rawatan IVF bersama TAFF selepas pelbagai usaha dilakukan untuk mendapatkan cahaya mata.
Pasangan tersebut, Amru Khalid Sazali, 31, dan isterinya, Afifah Syahirah Abdul Karim, 30, bersama bayi kembar mereka dilahirkan melalui kaedah pembedahan pada 21 Disember lalu.
“Junjung kasih Tuanku! Terima kasih kepada semua pihak TAFF yang sangat membantu dan menyokong perjalanan rawatan kesuburan ini,” katanya.
Anak kembar pasangan tersebut diberi nama Atiyyah Zahra dengan berat 2.49 kilogram serta Abdullah Zainy seberat 2.15 kilogram.
Difahamkan, lawatan ke kediaman pasangan di Pantai Sepat di Kuantan itu sekali gus mencatatkan kelahiran bayi ke-148 dan 149 hasil inisiatif TAFF.
Dalam kunjungan tersebut, Tunku Azizah yang diiringi anakanda Seri Paduka Baginda, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah turut menceriakan pasangan berkenaan apabila menitipkan nasihat serta berkongsi tips penjagaan bayi dan ibu berpantang.
“Alhamdulillah, tahniah dapat bayi. Tuanku pun dapat cucu. Comel betul dua kembar ini,” komen @Intanbaheera.
“Seronoknya dapat kembar. Harap saya dapat kembar tiga terus,” komen @Leanne.hazelinne. –KOSMO! ONLINE














