SHAH ALAM – Kesukaran tindakan terhadap ajaran Qadiani tidak mempunyai kaitan dengan pihak istana seperti didakwa seorang penceramah menerusi aplikasi TikTok.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, ia sebaliknya setelah ajaran itu difatwa terkeluar daripada agama Islam pada 24 September 1998 dan 17 Ogos 2000.
Menurutnya, keputusan fatwa ini telah memberi kesan kepada bidang kuasa penguatkuasaan JAIS yang hanya boleh menguatkuasakan undang-undang jenayah syariah kepada orang Islam sahaja seperti dinyatakan di bawah Subseksyen 1(2) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
“JAIS juga tidak pernah menerima sebarang aduan atau maklumat tentang adanya individu tertentu yang ada kaitan rapat dengan istana yang menjadi dalang kepada wujud dan bertapaknya Ajaran Qadiani di Selangor.
“Kenyataan penceramah tersebut adalah tidak bertanggungjawab dan merupakan suatu perbuatan menghina Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam bagi Negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan di sini.
Terdahulu, satu rakaman video ceramah telah dimuat naik oleh seorang pengguna pada 8 Disember lalu berhubung ajaran sesat di Selangor serta mengaitkannya dengan pihak-pihak tertentu termasuk institusi istana.
Semakan awal mendapati penceramah berkenaan memiliki tauliah mengajar agama Islam di Selangor (M1) dan ceramah itu dipercayai disampaikan di Masjid Taman Putra Perdana, Puchong.
Mohd. Shahzihan berkata, Setiausaha Jawatankuasa Tauliah, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan meneliti fakta ini sama ada ia suatu kenyataan yang berlawanan dengan ketetapan Peraturan-Peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024 atau sebaliknya.
Tegasnya, usaha membanteras ajaran sesat di Selangor dilaksanakan secara berterusan, berlandaskan peruntukan undang-undang dan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dengan mengambil kira fakta, saksi dan keterangan atau bukti-bukti yang diterima oleh undang-undang.
“JAIS mengingatkan semua pendakwah dan penceramah atau mana-mana orang agar menyampaikan fakta secara tepat dengan membuat penelitian mendalam, beradab dan bertanggungjawab.
“Selain itu, tidak menimbulkan keresahan awam terutama apabila ia berkaitan dengan kedudukan institusi istana dan Sultan Selangor,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














