fbpx
Tangkap layar kejadian kemalangan di Lahad Datu, kelmarin.

Redah lampu isyarat, rempuh kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LAHAD DATU – Tindakan berbahaya seorang penunggang motosikal disyaki terlibat lumba haram di sini sehingga melanggar lampu isyarat merah dan merempuh sebuah kenderaan mengundang padah apabila dia ditahan polis, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, pihaknya mengesan aktiviti tersebut menerusi video tular memaparkan kegiatan lumba haram oleh sekumpulan penunggang motosikal.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 3.50 pagi Ahad lalu di persimpangan lampu isyarat lapangan terbang Lahad Datu. Salah seorang penunggang motosikal telah melanggar lampu isyarat merah lalu terlanggar sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dzulbaharin berkata, hasil maklumat, polis berjaya menahan suspek lelaki berusia 21 tahun di kediamannya di Felda Sahabat, di sini pukul 4.15 petang, kelmarin.

Katanya, kes disiasat di bawah seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

Mana-mana individu yang melihat kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Humaidi Harun di talian 089-881255.

“Polis ingin menasihatkan kepada orang ramai terutama ibu bapa untuk memantau tingkah laku anak-anak agar tidak terpengaruh dengan gejala tidak sihat.

“Pengguna jalan raya khususnya belia diminta mematuhi undang-undang lalu lintas dan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti lumba haram atau samseng jalanan yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN