fbpx
JUN HAO tekad untuk memperbaiki prestasi dan mencatat keputusan lebih baik menjelang saingan musim baharu nanti. - FARIZ RUSADIO

Jun Hao mula bersiap hadapi kempen 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kempen 2025 boleh dianggap musim kurang memberangsangkan buat perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao apabila sering tersingkir di pusingan awal dalam setiap kejohanan disertai.

Situasi itu nyata bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan bekas juara remaja Asia berkenaan apabila peminat-peminat sukan tanah air mula mempersoalkan kemampuannya selaku perseorangan lelaki No.1 negara ketika ini.

Jun Hao menegaskan, dia hanya fokus menjalankan tugasnya sebagai seorang pemain selain mengambil teguran semua pihak sebagai pembakar semangat bagi mempamerkan aksi lebih baik pada musim depan.

“Saya rasa buat masa sekarang, hanya perlu fokus pada diri sendiri dan memberikan perhatian bagaimana untuk terus melangkah ke hadapan. Saya juga tidak mahu fikir lagi mengenai kejohanan-kejohanan lepas.

“Tidak ada pemain yang mahu kalah, jadi saya biarkan sahaja apa orang cakap dan buat kerja sendiri sahaja. Komen-komen itu saya jadikan pembakar semangat dan kalau ada yang teruk, saya abaikan sahaja,” katanya.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Jun Hao sepanjang saingan Jelajah Dunia musim ini adalah mara ke pusingan suku akhir pada kejohanan Terbuka Singapura dan Terbuka Hong Kong.

Sementara itu, dia juga mengakui sudah menyesuaikan diri dengan corak latihan yang diterapkan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen.

“Memang saya sudah faham dan cuba lakukan tetapi mungkin ada beberapa perkara yang tidak sesuai. Jadi, masih perlukan masa untuk saya sendiri tahu apa yang perlu dilakukan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN