PETALING JAYA – Diuji dengan penyakit kanser buah pinggang tahap satu, pelakon Zara Zya tetap berlapang dada mengharungi ketentuan dalam hidupnya.
Zara atau nama lengkapnya, Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, 39, turut menzahirkan penghargaan kepada ramai insan prihatin yang sentiasa mendoakan kesejahteraan serta kesihatannya.
“Terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan saya dan menghadiahkan kata-kata semangat.
“Doa kalian sangat bermakna,” katanya dalam perkongsian yang dimuatnaik di platform Threads.
Pada hantaran sama, pelakon drama Sumpah Ibuku itu turut berterima kasih kepada pihak yang melemparkan kecaman terhadapnya.
Akui wanita terbabit, kata-kata negatif yang pernah dihamburkan merupakan antara penyebab hatinya terus kental.
“Dan kepada yang memilih untuk mengecam atau mendoakan sebaliknya, terima kasih juga ya.
“Semuanya mengajar saya untuk lebih kuat, lebih tenang serta lebih berserah,” jelasnya.
Terdahulu, Zara mendedahkan disahkan menghidap kanser ginjal atau Renal Cell Carsinoma tahap satu sejak tahun lalu.
Ujarnya, sebahagian buah pinggangnya sudah dibuang dan kini perlu menjalani rawatan yang ditetapkan pihak hospital.
Aktres terbabit juga pernah mendedahkan bergelut masalah kesihatan berkaitan tulang leher, tulang belakang dan arthritis. – KOSMO! ONLINE














