fbpx
Data Statistik Migrasi Antarabangsa yang dikeluarkan DOSM hari ini.

Penduduk warga asing catat 3.38 juta, Sabah paling tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Penduduk bukan warganegara di Malaysia dianggarkan seramai 3.38 juta pada tahun ini dengan Sabah mencatatkan peratusan paling tinggi iaitu seramai 1.04 juta penduduk asing.

Menerusi data Statistik Migrasi Antarabangsa yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), selain Sabah, Selangor berada di tempat kedua dengan jumlah seramai 730,000 penduduk asing.

Johor pula di tangga ketiga dengan jumlah seramai 390,000 penduduk asing diikuti dengan Kuala Lumpur (270,000 penduduk asing) dan Pulau Pinang (180,000 penduduk asing).
Statistik itu bagaimanapun menunjukkan kadar pertumbuhan tahunan bukan warganegara menurun kepada -0.5 peratus berbanding 2024, manakala komposisinya turut susut daripada 10.0 peratus (2024) kepada 9.9 peratus (2025).

DOSM memaklumkan, sebanyak 156 daerah pentadbiran didiami penduduk asing dan 33 daerah merekodkan komposisi penduduk bukan warganegara melebihi paras nasional 9.9 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, bilangan lelaki melebihi perempuan, masing-masing 2.35 juta dan 1.03 juta, menjadikan nisbah jantina sebanyak 228 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Beliau berkata, nisbah jantina yang tinggi ini dipengaruhi oleh bilangan pekerja asing lelaki yang tinggi di Malaysia.

“Umur penengah penduduk bukan warganegara pada tahun ini ialah 29.2 tahun, meningkat sebanyak 0.2 tahun daripada 29.0 tahun pada 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Data tersebut turut menunjukkan komposisi penduduk bukan warganegara berusia 15-64 tahun (umur bekerja) menurun kepada 79.8 peratus (2025) daripada 79.9 peratus pada tahun lalu.

Sementara itu, peratusan penduduk bukan warganegara berusia 65 tahun dan lebih (umur tua) meningkat kepada 4.7 peratus daripada 4.6 peratus bagi tempoh yang sama manakala komposisi penduduk asing berusia 0-14 tahun (umur muda) pada 2025 kekal tidak berubah berbanding 2024 dengan 15.5 peratus.

Dari aspek guna tenaga, bilangan bukan warganegara bekerja meningkat kepada 2,360.6 ribu pada 2024 berbanding 2,004.0 ribu pada 2023.

Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) bukan warganegara juga turut menunjukkan peningkatan daripada 87.2 peratus pada 2023 kepada 88.9 peratus pada 2024, menunjukkan tujuan utama kemasukan penduduk asing ke Malaysia adalah bagi pekerjaan.

Sementara itu, Mohd. Uzir berkata penerbitan ini menjadi asas kepada pembangunan sistem data migrasi antarabangsa yang lebih tersusun dan konsisten selaras dengan standard antarabangsa.

Beliau berkata, bagi permulaan penyediaan statistik migrasi antarabangsa Malaysia, tumpuan adalah terhadap statistik stok migran iaitu penyediaan statistik komprehensif bagi stok penduduk bukan warganegara di Malaysia dan stok warga Malaysia di luar negara.

“Penyediaan statistik stok ini akan terus dipertingkatkan melalui liputan data yang lebih luas serta penambahbaikan metodologi bagi memastikan ketepatan, kebolehpercayaan dan keseragaman data.

“DOSM akan terus memantapkan koordinasi dengan agensi berkaitan untuk menyokong penyediaan statistik migrasi antarabangsa yang lebih tepat, menyeluruh dan bermanfaat bagi dasar serta perancangan negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN