REMBAU – Mayat di dalam beg yang ditanam di belakang kediaman di Kampung Batu 4, Pedas di Rembau, yang ditemukan Khamis lalu disahkan milik Suri Narudin, 53, yang hilang berdasarkan laporan di Balai Polis Ampang pada 15 Disember.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya telah mengemukakan satu set cap jari untuk tujuan pemeriksaan dan perbandingan cap jari di Pejabat Pendaftaran Penjenayah Malaysia, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Menurutnya, berdasarkan pemeriksaan dan perbandingan cap jari, pihak polis mengesahkan bahawa cap jari berkenaan sepadan dengan rekod dalam Sistem Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (JPNM) atas nama Suri Binti Narudin.
“Selain itu, pihak polis turut mengesahkan bahawa laporan analisis DNA (Deoxyribonucleic acid) daripada Jabatan Kimia Malaysia telah diterima. Berdasarkan keputusan analisis DNA yang dijalankan, perbandingan profil DNA mendapati keberangkalian hubungan sangat tinggi.
“Spesimen yang dianalisis menunjukkan hubungan kekeluargaan terdekat, iaitu sumber spesimen hubungan adik-beradik kandung, dengan kebarangkalian hubungan yang sangat tinggi, sekali gus mengukuhkan lagi proses pengesahan identiti mayat sebagai Suri Binti Narudin,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan kes penemuan mayat berkenaan.
Bagaimanapun menurutnya, pihak polis mengalu-alukan kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini ke Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau atau balai polis berhampiran.
“PDRM memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus, profesional dan berlandaskan undang-undang,” tegasnya.
Khamis (18 Disember) lalu, suspek pertama iaitu lelaki berusia 41 tahun yang merupakan pemandu e-hailing serta memiliki enam rekod jenayah lampau ditangkap polis di Melaka petang hari yang sama penemuan mayat berkenaan.
Penangkapan tersebut membawa kepada penangkapan suspek utama iaitu lelaki berusia 51 tahun yang merupakan bekas pemandu e-hailing yang kini menganggur di Genting Sempah, Pahang pada petang Jumaat (19 Disember) lalu.
Tangkapan dua suspek berkenaan juga dipercayai berkait satu kes individu yang dilaporkan hilang di Ampang Jaya, Selangor, baru-baru ini iaitu Suri dilaporkan hilang sejak 8 Disember lalu. – KOSMO! ONLINE














