REMBAU – Ahli keluarga mahu pembunuh Suri Narudin, 53, menerima hukuman setimpal di muka pengadilan kerana tergamak membunuh mangsa dengan kejam.
Anak saudara Suri yang ingin dikenali Mizan, 41, berkata, ibu saudaranya itu seorang yang sangat baik, peramah serta tidak pernah berkira baik dengan keluarga mahu pun rakan dan mereka juga mengenali suspek sejak beberapa tahun lalu.
“Jadi saya berdoa agar si pelaku didakwa setimpal dengan apa yang dia dah buat. Memang saya agak sedih sebab Mak Su saya baik orangnya dan dia cepat percaya dengan orang juga. Dia pun tak pernah berkira. Nak pergi mana-mana pun dia bawa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau, di sini, hari ini.
Menurutnya, mereka sekeluarga baru dimaklumkan mengenai pengesahan jasad Suri kira-kira pukul 12 tengah hari tadi dan keputusan tempat pengebumian bergantung kepada adik-beradik arwah.
Mizan berkata, mereka sekeluarga sudah pun mula mengesyaki mayat tersebut adalah Suri susulan ternampak bagasi yang digunakan oleh ibu saudaranya itu.
Malah ketika ditanya semasa pencarian keluarga sebelum mayat ditemukan, dia menyatakan tidak lena tidur serta ada mendapatkan khidmat pihak lain untuk ‘melihat’ di mana ibu saudara mereka.
Dalam pada itu, dia berpuas hati dengan tindakan pantas oleh polis bermula dengan siasatan sehinggalah ke proses pengesahan mayat ibu saudaranya itu. – KOSMO! ONLINE














