PETALING JAYA – Dewan Perniagaan Datuk-Datuk Malaysia (DPDDM) telah menjalin kerjasama dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dalam membantu usahawan dan koperasi di seluruh negara.
Presiden DPDDM, Datuk Nor Hasnal Hashmi berkata, kerjasama itu membabitkan beberapa bidang termasuk hartanah, pembinaan, logistik serta pengedaran barang dengan memanfaatkan kira-kira 16,000 ahli koperasi.
Dengan jalinan kerjasama itu katanya, ia berpotensi menjana nilai tinggi kepada ahli kedua-dua belah pihak.
“DPDDM komited untuk menjadi jambatan yang menghubungkan kepakaran korporat dan sumber kewangan dengan jaringan luas koperasi di bawah Angkasa.
“Kami bersedia menjadi rakan strategik utama Angkasa dalam mempertingkat kapasiti usahawan, membantu memperluas jaringan perniagaan koperasi ke peringkat nasional dan antarabangsa, selari dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Nor Hasnal berkata, kedua-dua pihak juga bersedia menawarkan pembiayaan alternatif melalui koperasi dan pembangunan platform latihan profesional untuk meningkatkan profesionalisme ahli koperasi.
Selain itu, kerjasama tersebut turut menyentuh aspek pemerkasaan usahawan bumiputera dan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS).
“Ia akan menjadikan koperasi sebagai ‘enjin’ ekonomi rakyat, serta keperluan untuk segera menggunakan teknologi digital dan inovasi,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE














