fbpx
Tangkap layar rakaman CCTV LLM memaparkan aliran trafik masih lancar di kebanyakan laluan di lebuh raya utama pagi ini.

Diskaun tol: Trafik lancar di hari kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Aliran trafik di lebuh raya utama seluruh negara dilaporkan lancar secara keseluruhan pada hari kedua pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena sambutan Krismas, meskipun terdapat beberapa lokasi mengalami pergerakan perlahan akibat kemalangan dan pertambahan kenderaan.

Berdasarkan kemas kini Pusat Pengurusan Trafik, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) setakat 9.46 pagi, hari ini, keadaan cuaca di kebanyakan kawasan adalah baik, sekali gus membantu kelancaran perjalanan pengguna lebuh raya.

Menurut LLM, trafik bergerak perlahan dikesan di beberapa laluan utama termasuk Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dari Slim River ke Sungkai susulan kemalangan di Kilometer (KM) 355.4 yang menyebabkan lorong kecemasan terhalang serta Plaza Tol Sungai Besi menuju ke pusat bandar.
“Bagi arah selatan pula, kesesakan berlaku dari Seberang Jaya ke Perai serta Sungai Buloh ke Bukit Lanjan, manakala di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE), trafik perlahan dilaporkan dari Plaza Tol Shah Alam ke Persimpangan Shah Alam.

“Di Johor, melibatkan laluan Sedenak ke Kulai dan Setia Tropika ke Pasir Gudang, selain kesesakan di Tambak Johor dari Johor Bahru ke Woodlands di kedua-dua arah, dipercayai akibat pergerakan keluar masuk sempena cuti perayaan,” lapor LLM.

Sementara itu, Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah, Lebuh Raya Cheras-Kajang, Lebuh Raya Damansara-Puchong dan Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang turut mencatatkan trafik perlahan di beberapa seksyen, kebanyakannya berpunca daripada kemalangan kecil dan peningkatan jumlah kenderaan sejak pukul 9 pagi tadi.

LLM memaklumkan, secara keseluruhan keadaan trafik masih terkawal walaupun jumlah kenderaan meningkat berikutan hari kedua diskaun tol 50 peratus yang dimanfaatkan orang ramai untuk pulang ke kampung atau bercuti sempena Krismas dan musim cuti persekolahan.

Sehubungan itu, pengguna lebuh raya dinasihatkan agar merancang perjalanan dengan teliti, mematuhi had laju ditetapkan, menjaga jarak selamat serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

Terdahulu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju memberikan diskaun tol 50 peratus daripada kadar tol biasa selama dua hari iaitu pada 23 dan 24 Disember bersempena dengan sambutan perayaan Hari Krismas yang akan disambut esok.

“Diskaun tol akan diberikan kepada kenderaan kelas 1 (kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) di semua plaza tol kecuali plaza tol di pintu masuk sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar, Lebuh Raya Utara-Selatan dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN