SEBERANG PERAI – Suspek yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes bunuh ibu kandungnya yang maut dalam kebakaran di rumah sewa mereka di Taman Rathna, Butterworth di sini, 10 Disember lalu akan dituduh dalam tempoh terdekat.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mengesahkan perkara tersebut ketika dihubungi Kosmo! di sini, petang tadi.
“Reman ke atas suspek tidak disambung dan akan didakwa dalam tempoh terdekat,” katanya di sini.
Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohamad dilaporkan berkata, laporan penuh siasatan kebakaran yang mengorbankan seorang wanita bersama anak angkat perempuan berusia empat tahun dijangka siap dalam tempoh dua minggu lagi.
Menurutnya, pihak JBPM masih mengumpul beberapa lagi maklumat bagi melengkapkan laporan itu.
Baru-baru ini, Kosmo! Online melaporkan pemuda berusia 20-an yang ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan disahkan tidak mempunyai rekod perubatan psikiatri.
Jenazah Hayani Yaakob, 50-an bersama anak angkat perempuannya yang dikenali sebagai Andra masih belum boleh dituntut dan dikebumikan kerana perlu menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 pagi itu, mayat dua mangsa rentung ditemukan secara bersebelahan pada jarak satu meter di bahagian ruang tamu, dekat pintu keluar utama.
Anak lelaki wanita itu pula ditemukan selamat di bahagian pintu dapur dan mengalami kecederaan akibat dihempap bumbung kediaman itu. -KOSMO! ONLINE














