LOS ANGELES – Vince Zampella yang merupakan pencipta bersama permainan video popular, Call of Duty meninggal dunia dalam kemalangan kereta, demikian menurut syarikat gergasi permainan Electronic Arts hari ini.
Zampella yang melancarkan Call of Duty pada 2003, meninggal dunia pada usia 55 tahun.
Pembangun dan eksekutif itu meninggal dunia kelmarin semasa memandu kereta Ferrari miliknya di jalan menawarkan pemandangan indah di utara Los Angeles, lapor badan penyiar tempatan, NBC4.
“Atas sebab yang tidak diketahui, kereta mangsa terbabas dari jalan raya, melanggar penghadang konkrit dan terbakar sepenuhnya,” kata Polis Lebuh Raya California (CHP) dalam satu kenyataan.
Menurutnya, kedua-dua pemandu dan penumpang terpelanting keluar daripada kenderaan dan meninggal dunia akibat kecederaan.
Saksi kejadian memuat naik rakaman video menunjukkan Ferrari berwarna merah ceri itu remuk dan terbakar. Punca kemalangan masih dalam siasatan.
Semasa hidupnya, Zampella dianggap sebagai peneraju dalam permainan video genre tersebut. – AFP














