PETALING JAYA – Keluasan kawasan tanaman di Malaysia seluas 7.5 juta hektar meliputi kelapa sawit seluas 5.8 juta hektar, getah (0.7 juta hektar) padi (0.5 juta hektar) dan tanaman lain pada 0.1 juta hektar.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, data itu diperoleh berdasarkan laporan Banci Pertanian 2024 bagi tahun rujukan 2023 yang diterbitkan hari ini.
“Jumlah pendapatan sektor pertanian pada tahun 2023 adalah RM186.43 bilion dengan subsektor tanaman muncul sebagai penyumbang terbesar iaitu RM132.06 bilion.
“Ini diikuti oleh subsektor ternakan dengan RM33.12 bilion, perikanan tangkapan (RM11.08 bilion), perhutanan dan pembalakan (RM5.42 bilion) serta akuakultur (RM4.74 bilion),” katanya pada Majlis Peluncuran Laporan Banci Pertanian 2024 yang diadakan secara dalam talian hari ini.
Mohd. Uzir berkata, tiga negeri mencatatkan jumlah pendapatan pertanian tertinggi adalah Johor dengan nilai RM30.15 bilion, Sarawak (RM29.18 bilion) dan Sabah dengan nilai RM28.22 bilion.
Menurut beliau, pendapatan dalam subsektor tanaman didominasi penanaman kelapa sawit yang mencatatkan nilai RM92.68 bilion, diikuti buah-buahan dengan nilai RM14.15 bilion.
Kata beliau, sayur-sayuran pula mencatatkan nilai RM10.90 bilion, diikuti getah (RM4.27 bilion), padi (RM3.84 bilion) dan nanas (RM2.33 bilion)
Katanya, bagi subsektor ternakan, aktiviti ternakan ayam dan itik mencatatkan pendapatan tertinggi RM20.83 bilion, diikuti oleh telur ayam dan itik (RM5.54 bilion) dan babi (RM2.55 bilion)
“Dalam subsektor perikanan tangkapan, pendapatan didominasi oleh pegangan individu sebanyak RM9.29 bilion berbanding RM1.80 bilion oleh pegangan pertubuhan.
“Pendapatan akuakultur kebanyakannya dijana oleh pegangan pertubuhan sebanyak RM3.86 bilion, manakala pegangan individu menyumbang RM0.88 bilion,” katanya.
Jelas beliau, pendapatan subsektor perhutanan dan pembalakan hampir keseluruhan disumbangkan oleh pegangan pertubuhan iaitu RM5.38 bilion, sementara pegangan individu hanya menyumbang RM47.17 juta. – KOSMO! ONLINE














