fbpx
BERDASARKAN kajian, Felda Bukit Goh kaya dengan bauksit serta pelbagai mineral lain termasuk nadir bumi. - GAMBAR HIASAN

Peneroka Felda Bukit Goh dilema nak jadi jutawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETELAH hampir 10 tahun peneroka Felda Bukit Goh, Kuantan terbeban kerana hilang punca pendapatan akibat pelaksanaan moratorium, namun masih tiada apa-apa tindakan tuntas bagi menyelesaikan kemelut melibatkan kawasan Felda yang mempunyai 671 peneroka itu.

Cuma baru-baru ini terdapat sinar harapan apabila terdapat cadangan bagi menghidupkan kembali kawasan itu yang menyaksikan borang bancian diedarkan kepada peneroka.

Antaranya pembangunan bercampur dengan peneroka ditawarkan RM1 juta dan sebuah rumah RM500,000.

Seterusnya penanaman semula dan pengeluaran bauksit yang mana melalui penjualan bauksit, peneroka dijangka memperoleh pendapatan sehingga RM2 juta.

Cadangan terakhir, projek ladang solar berskala besar. Peneroka terlibat dijangka mendapat kira-kira RM1.15 juta bayaran sewaan.

Ketiga-tiga cadangan itu mendapat perhatian peneroka yang telah lama terbeban akibat hilang punca pendapatan selepas tiada lagi penananam semula dilakukan selepas moratorium.

Tiga cadangan itu juga membuatkan peneroka dalam dilema untuk membuat pilihan.

Projek pembangunan hartanah menyaksikan hak milik tanah seluas kira-kira 4.04 hektar bagi setiap peneroka itu akan lenyap dan bertukar hak milik, manakala bagi penanaman semula dan pembebasan mineral menyaksikan tanah peneroka terlibat akan terjejas akibat perlombongan bauksit.

Bagi projek ladang solar pula membolehkan tanah terus menjadi hak milik mereka dan tanah juga tidak akan digali untuk perlombongan bauksit.

Pengarah Pusat Kelestarian Mineral dan Teknologi Pemulihan Sumber (SMaRRT Center) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Prof. Madya Dr. Mohd. Yuhyi Mohd. Tadza berkata, sedikit sebanyak kesuburan tanah akan terkesan akibat perlombongan bauksit

Katanya, ini dapat dilihat apabila kesan perlombongan bauksit di Johor menunjukkan tanaman sawit tidak menghasilkan buah selepas tempoh matang.

Bagaimanapun, katanya pemulihan boleh dilakukan berdasarkan kepada cadangan projek yang hendak dilakukan sama ada penanaman semula sawit atau tumbuhan lain atau projek pembangunan bercampur.

Menurutnya, berdasarkan kajian, Felda itu bukan sahaja kaya dengan bauksit, malah pelbagai mineral lain termasuk nadir bumi yang menjadi rebutan pembeli termasuk dari luar negara.

“Sama ada mahu menjadi jutawan segera atau pun sebaliknya terserah kepada peneroka terbabit.

“Jika mendapat duit jutaan ringgit dan mampu menguruskan dengan baik termasuk melabur dalam membeli aset serta memulakan perniagaan, mungkin ia akan menjamin masa depan cerah.

“Namun sebaliknya jika gagal mengurus duit jutaan ringgit itu, ia akan habis dan mereka akan kehilangan tanah dan sumber pendapatan,” ujarnya.

Harus diingat tanah di Felda itu mempunyai nadir bumi yang lebih bernilai daripada bauksit. Usah tertipu dengan pembelian bauksit kerana mungkin pembeli menyasarkan bahan mineral lain.

Jadi, fikirlah yang terbaik dari semua sudut termasuk usia, anak cucu dan masa depan. Pilihlah sama ada mahu jadi jutawan segera atau jutawan jangka panjang. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN