fbpx
LILIS SASLINDA (dua dari kiri) melihat tanda harga pada sayuran ketika meninjau SHMMP Krismas 2025 di Pasaraya Jaya Grocer, Toppen, Johor Bahru hari ini.-Foto RAJA JAAFAR ALI

354 kes langgar SHMMP direkodkan di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Sebanyak 354 kes direkodkan atas pelbagai kesalahan dibawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di Johor sepanjang tahun ini sekali gus mendedahkan tahap pematuhan peniaga yang masih berada pada paras membimbangkan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, statistik itu direkodkan hasil pemeriksaan berterusan sempena sambutan perayaan utama termasuk Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali.

“Daripada jumlah tersebut, 343 kes dikesan berpunca daripada kegagalan peniaga mempamerkan tanda harga merah jambu (tag pink) bagi barangan kawalan, yang sepatutnya menjadi panduan utama pengguna.

“Ketiadaan tag pink menyebabkan pengguna tidak tahu harga sebenar barang di bawah skim kawalan dan ini satu kesalahan serius,” katanya ketika ditemui sempena pelancaran SHMMP Krismas 2025 di Pasaraya Jaya Grocer, Toppen di sini hari ini.

Lilis Saslinda berkata, Johor turut mencatat peningkatan ketara berbanding hanya 78 kes pada 2024, sekali gus menunjukkan tahap ketidakpatuhan peniaga semakin membimbangkan walaupun advokasi telah dilaksanakan berulang kali.

Katanya, SHMMP Krismas 2025 dilaksanakan selama lima hari bermula 23 hingga 27 Disember, melibatkan sembilan barangan kawalan di Johor daripada 14 item di peringkat nasional.

Antara barangan terbabit ialah daging kambing biri-biri bertulang import, kentang, kubis bulat, lobak merah dan cili merah, yang menjadi keperluan utama pengguna sepanjang musim perayaan.

Menurut beliau, dua hari pertama pelaksanaan skim memberi fokus kepada pendekatan advokasi, namun tindakan tegas termasuk kompaun dan pendakwaan akan diambil sekiranya peniaga terus ingkar.

“Kita tidak mahu peniaga ambil mudah. Undang-undang di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 akan dikuatkuasakan sepenuhnya,”tegasnya.

Tambahnya, pemeriksaan harian dan operasi penguatkuasaan akan dipertingkatkan bagi memastikan peniaga tidak menjual barangan melebihi harga maksimum ditetapkan.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan peniaga supaya mempamerkan tanda harga dengan jelas dan jujur, selain memastikan harga yang dikenakan selari dengan kadar kawalan.

Beliau turut menggesa pengguna agar berani membuat aduan sekiranya mengesan sebarang pelanggaran termasuk ketiadaan tanda harga atau harga tidak munasabah.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI