fbpx
SKUAD takraw negara mencipta prestasi menakjubkan selepas memenangi acara berpasukan dan regu pada temasya Sukan SEA Thailand.

PSM mula ada rancangan baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Selepas berjaya melakar sejarah gemilang menamatkan penantian 34 tahun merangkul pingat emas acara berpasukan di bumi Thailand, Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) kini mengalihkan fokus dalam acara kuadran yang dilihat masih ketinggalan.

Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan menyifatkan kejayaan merangkul dua emas menerusi acara regu berpasukan dan regu di Sukan SEA Thailand 2025 yang berakhir semalam sebagai pencapaian paling manis.

Bagaimanapun, Sumali mengakui kegagalan dalam acara kuadran perlu diperbaiki segera memandangkan acara tersebut kini menjadi acara wajib dalam setiap kejohanan antarabangsa.

“Saya tak fikir pasal keletihan kita tidak berjaya meraih emas dalam acara kuadran, saya fikir puncanya adalah ‘klimaks awal’ apabila acara berpasukan itu kita bergelar juara dan lebih manis mengatasi Thailand.

“Itu adalah ibu segala pingat emas. Apabila dah dapat (emas berpasukan) dulu, ia jadi sedikit mengacau mood untuk acara-acara yang lain. Pemain cuba untuk bangkit, tetapi akhirnya tidak berjaya, manakala negara lain dilihat lebih bersedia dari segi taktikal untuk kuadran,” jelasnya.

Bagi memastikan Malaysia tidak terus ketinggalan dalam acara tersebut, Sumali mendedahkan perancangan PSM untuk mewujudkan gandingan pemain yang dikhususkan untuk acara kuadran.

Jelasnya, acara kuadran memerlukan taktikal yang berbeza serta kajian yang mendalam berbanding acara regu atau berpasukan ketika Vietnam, Laos dan Thailand mula menemui rentak terbaik dalam acara itu..

“Kita perlu buat sesuatu sebab kita tak boleh elak, kuadran ada di mana-mana kejohanan. Jadi, suka atau tidak, kita kena capai tahap terbaik supaya ia seiring dengan prestasi acara regu,” katanya.

Tahun depan, PSM bakal berdepan jadual padat seperti Piala Dunia Sepaktakraw di Kuala Lumpur pada Mei, Piala Raja Thai (Julai), Sukan Asia di Nagoya (September), serta Piala Dunia Belia di Filipina (November).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN