ALOR SETAR – Seorang lelaki berusia 28 tahun ditemukan lemas di tempat duduk pemandu kereta jenis Perodua Axia yang terjunam ke dalam sungai di Persiaran Taman Jeragan, Ampang Jajar di sini pagi tadi.
Mayat mangsa, Ooi Cheah Jhun dari Taman Anggerik di sini dijumpai anggota bomba pada pukul 2.35 petang sebelum dinaikkan 30 minit kemudian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba Ismail Mohd. Zain berkata, operasi selaman dilakukan oleh 12 anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Sungai Petani dan Jitra.
“Kereta itu ditemukan di dasar sungai berkedalaman tujuh meter dan 20 meter dari tebing selepas PPDA melakukan lima selaman di kawasan berkenaan.
“Mangsa ditemukan di tempat duduk dan masih bertali pinggang keledar. Anggota PPDA berdepan kesukaran mengesan kereta itu kerana arus deras selain air sungai yang keruh,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Katanya, kereta itu dinaikkan menggunakan sistem pemulihan kenderaan (VRS) sebelum mayat mangsa dibawa keluar. Mangsa dipercayai merempuh penghadang di tebing sebelum meluncur ke tengah sungai dan tenggelam.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan sebuah kereta terjunam ke dalam Sungai Kedah di Ampang Jajar hari ini. Pihak bomba yang menerima panggilan pada pukul 10.37 pagi menggerakkan anggota dan jentera dari BBP Alor Setar ke lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE














