GEORGE TOWN – Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad menyasarkan keuntungan tahunan antara RM50 juta hingga RM60 juta setahun menjelang 2032, hasil pulangan aset hartanah dan pendapatan berulang daripada pembangunan strategik yang dimiliki koperasi itu.
Pengerusinya, Datuk Suhaimi Abdul Jalil berkata, sasaran tersebut dijangka dapat dicapai apabila semua pulangan faedah dalam bentuk barangan daripada projek usaha sama hartanah diserahkan sepenuhnya dalam tempoh lima hingga tujuh tahun akan datang.
Menurut beliau, Koperasi Tunas Muda yang merupakan koperasi berasaskan hartanah berdepan kekangan tanah di Pulau Pinang yang semakin terhad, namun berjaya memaksimumkan nilai aset melalui pembangunan bersama rakan strategik syarikat hartanah berpengalaman.
“Pada asalnya kita memiliki kira-kira 1,000 ekar tanah, namun selepas pengambilan semula oleh kerajaan negeri, baki yang dibangunkan sekitar 700 ekar. Kini tanah kami di Pulau Pinang tinggal kira-kira 20 ekar sahaja.
“Walaupun tanah semakin berkurang, kami menerima aset in-kind seperti bangunan pejabat dan premis komersial yang bernilai tinggi khususnya di lokasi strategik di pulau,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri perasmian Laman Tunas Coop City Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad di sini, baru-baru ini.
Suhaimi berkata, antara penyumbang utama pendapatan berulang koperasi ketika ini ialah aset komersial termasuk pembangunan Golden Square Bay (GSB) berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), yang mencatatkan kadar penghunian hampir 95 peratus oleh syarikat antarabangsa.
“Setakat ini, pendapatan tahunan daripada aset komersial mencecah sekitar RM20 juta, manakala keuntungan keseluruhan koperasi bagi tahun 2024 dan tahun adalah sekitar RM40 juta,” jelasnya.
Suhaimi berkata, nilai aset komersial yang menjana pendapatan berulang kini dianggarkan sekitar RM700 juta, termasuk hotel milik koperasi di Negeri Sembilan.
Koperasi Tunas Muda turut merancang untuk meneroka pelaburan Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang bagi meningkatkan pulangan aset.
“Pulangan sewaan biasa sekitar lima peratus, namun melalui REIT, kami jangka pulangan boleh mencecah antara tujuh hingga sembilan peratus dan ini satu langkah strategik kerana aset kami kebanyakannya terletak di Pulau Pinang yang bernilai tinggi,” katanya.
Tambah beliau, selain Pulau Pinang, koperasi itu turut memiliki tanah di luar negeri termasuk 170 ekar di Sungai Petani, 60 ekar di Kulim dan 90 ekar di Kuala Ketil, Kedah dan kini sedang dalam proses mencari tanah baharu di sekitar Balik Pulau bagi menggantikan rizab tanah sedia ada.
Jelasnya, keuntungan koperasi bukan sahaja memberi manfaat kepada anggota, malah turut disalurkan kembali kepada masyarakat melalui sumbangan sosial. – KOSMO! ONLINE














