JITRA – Seorang pelajar sekolah dikesan menghidap kanser otot atau rhabdomyosarcoma (RMS) selepas mata kiri bengkak akibat kecederaan ketika bermain bola.
Muhammad Danish Akif Muhammad Zulkhaery, 15, yang juga pelajar Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu di sini, menghidap kanser pada April lalu dan kini menjalani rawatan kemoterapi serta radioterapi.
Menurut ibunya, Nur Hidayah Md. Salleh, 42, anaknya cedera ketika bermain bola sepak dan mendapat rawatan di hospital.
Bagaimanapun, selepas dua minggu, matanya semakin bengkak dan doktor melakukan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) sebelum mengesan ada ketumbuhan sebesar bola pingpong di belakang mata kiri.
“Pembedahan dilakukan untuk mengeluarkan ketumbuhan itu dan seterusnya Danish menjalani rawatan,” katanya di rumahnya di Taman Cahaya di sini.
Menurutnya, anak kedua daripada empat beradik itu tidak menunjukkan sebarang simptom kanser sebelum ini.
“Dia seorang pelajar aktif dan mewakili sekolah untuk bermain bola sepak. Danish tidak pernah sakit teruk sebelum ini sehingga disahkan menghidap kanser.
“Danish sudah menjalani sepenuhnya rawatan 28 kali radioterapi dan tujuh daripada 13 kali kemoterapi di Hospital Pulau Pinang. Setakat ini dia menunjukkan perkembangan baik kerana kanser dikesan pada peringkat awal, alhamdulillah,” katanya.
Katanya, dugaan itu agak berat untuk dirinya yang bekerja sebagai pembantu tadbir sebuah agensi kerajaan, manakala suami, Muhammad Zulkhaery A. Rahman, 45, hanya bekerja kampung.
“Danish telah mendapat bantuan Majlis Kanser Nasional sebanyak RM200 sebulan untuk membeli kelengkapan diri seperti pad penutup mata,” katanya.
Ujarnya, Muhammad Danish terpaksa bercuti sekolah sejak Mei lalu dan berharap anaknya itu segera sembuh.
Terdahulu Pengerusi Cancer Survivors Malaysia, Zuraini Kamal dan penaungnya, Datuk Mohd. Asri Redha mengunjungi remaja itu untuk menghulurkan sumbangan wang tunai dan bekalan makanan.
Mereka yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi akaun Nur Hidayah 7079022520 (CIMB).














