KUALA LUMPUR – ASEAN mesti melakukan apa jua yang perlu bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau termasuk menamatkan konflik yang tercetus antara Kemboja dan Thailand.
Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, semua pihak dalam ASEAN mesti menjadikan penghentian permusuhan dan penyelesaian secara aman sebagai keutamaan.
“Dalam ASEAN yang sangat saling berhubung, kita mesti mempertimbangkan implikasi yang lebih luas akibat peningkatan berterusan situasi ini terhadap rakyat yang kita berkhidmat.
“Saya menggesa semua agar memberikan perhatian paling segera terhadap perkara ini. Ingatlah, di mata dunia kita telah berkembang dan berjaya dan di mata dunia juga kita mesti mengatasi cabaran kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) untuk membincangkan situasi terkini antara Kemboja dan Thailand di ibu negara hari ni.
Terdahulu, Mohamad berkata, ASEAN berada di persimpangan kritikal dalam landskap serantau dan global susulan gangguan geopolitik yang mencabar asas utama susunan serantau.
Menurut beliau, situasi itu mengancam kredibiliti ASEAN sebagai antara organisasi integrasi paling aman dan berjaya dalam sejarah moden.
Ujarnya, dalam dunia dan ASEAN semakin saling berhubung, kejutan keselamatan bukan sahaja menjadi isu serantau, malah turut menjadi kebimbangan global.
Justeru, kata beliau, korban orang awam dan konflik berpanjangan akibat ketegangan berterusan antara Kemboja dan Thailand perlu dihentikan.
Katanya, sejak permusuhan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berusaha memudah cara penyelesaian secara muhibah yang membawa kepada gencatan senjata pada 28 Julai 2025.
Jelasnya, usaha itu kemudian dimuktamadkan menerusi Perjanjian Keamanan Kuala Lumpur pada 26 Oktober 2025 dan ASEAN menggesa ia dilaksanakan sepenuhnya.
“ASEAN mesti melakukan apa jua yang perlu untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau dengan membuka ruang dialog demi masa depan rantau yang aman dan makmur bersama.
“Malaysia berkeyakinan penuh terhadap komitmen Kemboja dan Thailand mencapai penyelesaian secara muhibah. Kita mesti menunjukkan kepada dunia ketahanan dan keupayaan kita sepanjang hampir 60 tahun lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE














