fbpx
SKUAD negara meraikan kejayaan memenangi pingat emas acara regu selepas menewaskan Vietnam di final semalam. - FARIZ RUSADIO

Sukan SEA: Emas tetap emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NAKHON PATHOM – Skuad sepak takraw negara melabuhkan Sukan SEA 2025 dengan penuh kemanisan apabila menghadiahkan pingat emas terakhir yang cukup bermakna buat kontinjen Malaysia semalam.

Trio negara dibarisi Farhan Adam, Mohamad Azlan Alias (perejam) serta tekong berbisa, Syahir Rosdi selaku juara dunia 2024, memastikan pingat emas bagi menamatkan kemarau emas kali terakhir digenggam regu negara pada edisi Kuala Lumpur 2017/

Dalam aksi final di Gimnasium Stadium Nakhon Pathom, jurang kualiti nyata memihak kepada regu negara apabila mudah menjinakkan Vietnam menerusi keputusan straight set 15-9, 15-9.

Vietnam yang cuba bangkit pada set kedua dengan corak permainan lebih agresif terpaksa akur apabila percaturan ketua jurulatih, Ahmad Jais Baharun memasukkan Haziq Hairul Nizam bagi menggantikan Syahir ternyata membuahkan hasil lumayan.

“Ini adalah pencapaian terbaik untuk saya secara peribadi dan negara. Sudah lama kita tak dapat pencapaian sebegini. Jadi tahun ini, dua emas adalah satu yang sangat membanggakan. Bukan sahaja untuk kami tapi buat rakyat Malaysia,” kata Farhan.

Mengulas ketiadaan Thailand yang tewas mengejut kepada Vietnam di separuh akhir, Farhan mengakui ketiadaan tuan rumah itu disebabkan kehebatan Vietnam.

“Final tetap final, emas tetap emas. Acara ini bukannya seperti sebelum ini di mana Thailand tak ambil bahagian. Kali ini Thailand ada dalam acara regu, tapi kalah di separuh akhir.

“Jadi kami tetap nak buktikan kami menang di final menentang Vietnam, menolak kata-kata orang yang mengatakan final tak best (seronok). Kita kena terima Vietnam pasukan yang kuat sehingga mampu mengalahkan Thailand,” jelasnya.

Ditanya mengenai masa depannya bersama skuad kebangsaan memandangkan usia semakin meningkat, Farhan menyerahkan nasibnya kepada barisan kejurulatihan, namun berikrar untuk terus menabur bakti selagi kudratnya diperlukan.

“Saya pun sedar umur makin meningkat, jadi saya akan cuba sehabis mungkin. Kalau tidak dipanggil pun, saya tetap akan menyokong. Kita kena teruskan dan tambah baik pasukan kita,” ujar Farhan yang mengimpikan peluang beraksi di Sukan Asia 2026. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN