BATU PAHAT – Sebuah kelong di Sungai Suluh di sini terbongkar dijadikan ‘stor gelap’ hidupan liar apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup ratusan haiwan dilindungi ke Indonesia dalam satu operasi bersepadu, malam kelmarin.
Dalam serbuan kira-kira pukul 10.30 malam itu, pasukan APMM Zon Maritim Batu Pahat dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor merampas sebanyak 245 ekor hidupan liar bernilai kira-kira RM15,500.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, rampasan dilakukan di Kelong Sungai Ayam, pada kedudukan lebih kurang 1.2 batu nautika barat daya Sungai Suluh, hasil risikan dan pemantauan berterusan pihak berkuasa.
“Hasil pemeriksaan mendapati kelong berkenaan dipercayai menjadi tempat transit sebelum haiwan ini dibawa keluar dari Malaysia ke Indonesia melalui laluan laut.
“Hidupan liar yang dirampas terdiri daripada 234 ekor burung Murai Kampung, 10 ekor ular sawa dan seekor monyet, yang disyaki melanggar peruntukan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohammad Zaini, nilai pasaran gelap bagi haiwan terbabit dianggarkan sekitar RM60 seekor bagi burung Murai Kampung, RM100 seekor ular sawa dan RM500 bagi seekor monyet, menjadikan keseluruhan rampasan bernilai RM15,500.
Jelasnya, kesemua haiwan yang diselamatkan telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat sebelum diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Johor untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Katanya, operasi itu sekali gus membongkar taktik licik sindiket yang menggunakan kelong terpencil sebagai lokasi simpanan sementara bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Mohammad Zaini menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjadikan perairan negara sebagai laluan jenayah rentas sempadan.
“Kes kini disiasat dan pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan wujud rangkaian lebih besar yang aktif menjalankan pemerdagangan hidupan liar secara haram melalui perairan Johor,”katanya.-KOSMO! ONLINE














