KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya menumpaskan 270 sindiket pengedaran dadah di seluruh negara sejak Januari hingga Khamis lalu.
Pengarah JSJN, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sepanjang tempoh itu, sebanyak 609 operasi dilaksanakan membawa kepada penahanan 737 individu dalam aktiviti pengedaran dadah.
“Berdasarkan risikan yang berkesan, JSJN turut menyerbu 19 makmal dadah haram dan menahan 52 individu termasuk empat ahli kimia,” katanya pada sidang akhbar berhubung kejayaan Op Gaharu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Menurut beliau, hasil operasi itu menyaksikan rampasan dadah dan racun seberat 215 tan dengan nilai pasaran gelap dianggarkan RM3.1 bilion.
Dalam tempoh sama, katanya, sebanyak 234,567 kertas siasatan dibuka di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Racun 1952 melibatkan tangkapan seramai 255,248 individu.
“Daripada jumlah itu, 157,648 kes atau 67 peratus berjaya dituduh di mahkamah,” katanya.
Beliau berkata, JSJN turut melumpuhkan kekuatan kewangan sindiket dadah apabila aset bernilai RM141 juta disita, manakala RM29 juta lagi dilucuthakkan.
“Tindakan ini bagi memastikan keuntungan haram hasil aktiviti jenayah tidak lagi digunakan untuk memperkukuh rangkaian sindiket,” jelasnya.
Tambah Hussein, seramai 808 individu ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 bagi memutuskan rangkaian sindiket dan menghalang mereka daripada kembali terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.
Dalam usaha menangani isu penagih berulang, katanya, tindakan tegas turut diambil di bawah Seksyen 39C ADB 1952 terhadap 9,512 penagih.
“Hukuman yang dikenakan melibatkan penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta sebatan sehingga tiga kali. Langkah berterusan ini telah berjaya menurunkan kadar jenayah indeks yang dilakukan oleh penagih dadah,” katanya.
Selain itu, sepanjang tahun ini, sebanyak 15 pelupusan barang kes dadah telah dilaksanakan dengan jumlah keseluruhan dadah dan racun yang dilupuskan mencecah 9,822 kilogram (kg).
Menurut Hussein, tiga jenis dadah utama berdasarkan berat tertinggi yang dilupuskan ialah methamphetamine seberat 1,591 kg, ganja (902 kg) dan heroin (681 kg). – KOSMO! ONLINE














