KUALA TERENGGANU – Sebuah kedai emas di Chabang Tiga di sini nyaris kerugian RM30,000 apabila seorang ‘pelanggannya’ cuba membeli barangan kemas menggunakan wang palsu semalam.
Dalam kejadian pada pukul 3.10 petang itu, mereka bernasib baik setelah salah seorang pekerja kedai emas mengesan sesuatu tidak kena pada sejumlah wang kertas RM50 yang diserahkan penjenayah terbabit.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pada mulanya, kedai emas terbabit didatangi seorang lelaki lingkungan 30-an yang memakai kopiah putih, pelitup muka dan bercermin mata hitam.
“Lelaki terbabit kemudian keluar masuk ke kedai emas terbabit beberapa kali sebelum bersetuju mahu membeli barangan kemas berkenaan kononnya untuk isterinya,” katanya di sini hari ini.
Azli berkata, suspek kemudiannya menyerahkan wang tunai berjumlah RM30,000 yang berikat dan berada di dalam beg plastik.
Beliau berkata, pekerja kedai emas tersebut curiga memeriksa wang itu dengan teliti menyebabkan suspek panik melarikan diri dengan sebuah kereta Perodua Axia yang diletakkan di hadapan kedai emas tersebut. – KOSMO! ONLINE














