BANGKOK – Skuad bola sepak bawah 22 tahun (B-22) Vietnam membawa pulang ‘ibu pingat emas’ temasya Sukan SEA 2025 selepas bangkit mencatat kemenangan 3-2 ke atas tuan rumah, Thailand di perlawanan akhir.
Pada aksi final yang berlangsung di Stadium Rajamangala malam kelmarin, skuad kendalian Kim Sang Sik itu tersentak seketika apabila Thailand mendahului 2-0 pada minit ke-31 menerusi jaringan Yotsakorn Burapha dan Seksan Ratree.
Bagaimanapun, semangat juang pemain-pemain Vietnam tidak luntur apabila mereka bangkit menyamakan kedudukan di separuh masa kedua menerusi Nguyen Dinh Bac dan Pham Ly Duc sebelum Nguyen Thanh Nanh meledak gol kemenangan pada minit ke-96.
Kemenangan itu nyata menggembirakan seluruh kem Vietnam, terutamanya Sang Sik yang berjaya memenangi pingat emas pertama Sukan SEA selepas dilantik sebagai jurulatih pasukan tersebut pada Mei tahun lalu.
“Pertama sekali, saya sangat gembira kerana dapat memenangi pingat emas pertama di temasya Sukan SEA. Terima kasih kepada semua penyokong yang hadir ke stadium bagi memberi sokongan kepada kedua-dua pasukan.
“Awal tahun kami memenangi pertandingan bersama pasukan senior dan kali ini tiba giliran skuad B-22. Tahniah kepada pemain kerana sudah menunjukkan semangat juang cukup tinggi walaupun ketinggalan dengan dua gol,” katanya.














