BANGKOK – Kejayaan skuad memanah lelaki compound negara merangkul pingat emas di temasya Sukan SEA semalam disulami dengan emosi yang berbaur ekoran pendedahan pemanah senior, Mohd. Juwaidi Mazuki.
Pada aksi final tersebut, trio Juwaidi, Muhammad Aiman Syafiq Mohd Tariki dan Alang Ariff Aqi Muhammad Ghazalli cemerlang menumbangkan pasukan tuan rumah, Thailand, dengan keputusan 232-229 untuk meraih pingat emas.
Bagaimanapun, Juwaidi menyuarakan kebimbangan serius mengenai risiko kehilangan bakat baharu, Muhammad Aiman Syafiq yang sebelum ini berdepan kesukaran mendapat pelepasan daripada Institut Pendidikan Guru (IPG) untuk menjalani latihan ke temasya kali ini.
Menurut Juwaidi, Aiman adalah pemanah luar biasa dan tidak wajar bakatnya disia-siakan sekali gus merayu agar pihak berkaitan dapat campur tangan bagi memastikan atlet berusia 19 tahun itu dapat meneruskan kariernya bersama skuad kebangsaan.
“Kalau ada mana-mana pihak yang boleh bantu dia (Aiman) untuk terus kekal dalam pasukan kebangsaan, tolonglah bantu dia, sebab dia ada potensi tinggi.
“Prestasinya bagi saya untuk seorang junior sangat luar biasa, terus melonjak ke tahap standard yang kita mahukan dan lebih manis dia membantu skuad negara meraih emas di Bangkok. Sebelum ini, kita akur sekadar pingat perak di Hanoi dan jelmakan emas semula di sini,” katanya.
Jelas pemanah senior itu, dia difahamkan ini mungkin tahun terakhir Aiman bersama skuad negara ekoran sistem IPG yang menyukarkan proses pelepasan untuk latihan dan kejohanan.
“Saya terkejut perkara sebegini masih berlaku dalam sukan Malaysia. Saya tak pernah terlibat dengan sistem IPG, tapi sekarang saya tahu bukan mudah untuk dapatkan pelepasan berbanding universiti lain,” jelasnya.
Sementara itu, Aiman yang membuat penampilan sulung di Sukan SEA berharap agar jalan penyelesaian dapat dicapai demi masa depannya dalam sukan memanah.
“Saya harap IPG dapat memberi kerjasama dengan pihak MSN (Majlis Sukan Negara) untuk saya teruskan perjuangan saya,” kata penuntut tahun pertama jurusan Pendidikan Jasmani itu.














