LONDON – Penduduk Britain terkejut apabila melihat kabus berwarna merah jambu dan ungu menyelubungi beberapa bahagian di negara berkenaan pada waktu pagi, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Pejabat Meteorologi Britain menyatakan, fenomena cuaca jarang kelihatan itu berlaku apabila cahaya matahari melalui habuk, kelembapan atau bahan lain di ruang udara.
Kejadian itu disaksikan ribuan penduduk Britain termasuk di Oxfordshire, Hertfordshire dan beberapa kawasan di London.
Kabus itu bagaimanapun beransur-ansur hilang apabila langit kembali cerah pada lewat pagi.
“Kabus merah jambu hari ini (kelmarin) di London. Sangat pelik. Saya akan keluar berlari sekejap lagi,” kata seorang netizen yang memberikan komen tentang fenomena tersebut.
Seorang lagi pengguna laman sosial menambah: “Malangnya ia tidak kelihatan cantik dalam gambar tetapi kabus tebal disinari cahaya matahari berwarna merah jambu adalah antara perkara paling pelik pernah saya lihat sejak beberapa waktu.” – AGENSI














