PETALING JAYA – Selalu lantang berhujah, pengacara Uyaina Arshad meluahkan rasa kesal apabila sesetengah pihak mengambil kesempatan ke atas hantaran dalam media sosialnya untuk tujuan komersial.
Uyaina atau nama penuhnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 33, berkata segelintir individu didakwa mencuri konten media sosialnya sebelum digunakan semula bagi mempromosikan produk tertentu demi meraih keuntungan peribadi.
“Hampir semua benda yang saya cakap bagus, saya guna, saya pakai.
“Ada sesetengah orang ambil, tangkap layar dan terus promosi produk mereka,” katanya dalam Threads.
Berkongsi lanjut, pelakon drama Love Elsa itu mendakwa ada individu yang berani menggunakan gambar serta video miliknya tanpa kebenaran sebagai bahan promosi.
“Kalau tak kongsi, kata saya ‘gatekeep’. Bila kongsi, terus jadikan ‘endorsement’ (sokongan) untuk jual balik produk dengan pautan mereka.
“Ada yang siap guna gambar dan video saya. Berkat ke itu?” luahnya.
Luahan tersebut mendapat sokongan ramai serta menyifatkan tindakan individu terbabit sebagai tidak beretika dan malas menghasilkan kandungan sendiri.
“Jadi sebab itulah kenapa sesetengah artis atau pempengaruh tidak mahu beritahu produk apa mereka pakai,” kongsi netizen.
“Ya, video treadmill awal entah mana-mana produk mereka letak link. Usaha buat sendiri langsung tiada, semua nak ceduk artis punya,” kata peminat.
“Bila dunia jadi tujuan, halal, haram dan keberkatan bukan lagi keutamaan,” tutur pengikut. – KOSMO! ONLINE














