KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terlepas peluang untuk mencatat kemenangan kedua pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2025 yang berlangsung di Hangzhou, China.
Pada aksi Kumpulan B yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Hangzhou sebentar tadi, bekas juara dunia itu tewas straight set 14-21, 18-21 kepada pasangan tuan rumah, Liang Wei Keng-Wang Chang.
Kekalahan itu kembali meletakkan Aaron-Wooi Yik dalam situasi sukar untuk meneruskan kemaraan ke pusingan kalah mati meskipun sudah mencatat satu kemenangan ke atas Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri dari Indonesia.
Wei Keng-Wang Chang yang terdesak memburu kemenangan pertama menampilkan aksi cukup baik sepanjang perlawanan berlangsung, ditambah pula dengan sokongan padu daripada penyokong sendiri.
Menjelang aksi terakhir peringkat kumpulan esok, Aaron-Wooi Yik sekali lagi berdepan cabaran sukar apabila bakal membuat perhitungan menentang beregu India, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy.
Sebagai rekod, pemenang dua pingat gangsa Sukan Olimpik itu masih belum pernah melayakkan diri ke separuh akhir WTF apabila sering terkandas di peringkat kumpulan dalam beberapa penyertaan sebelum ini. – KOSMO! ONLINE














