fbpx
IRFAN berjaya memecahkan rekod Sukan SEA berusia 26 tahun ketika meraih emas acara lempar cakera untuk kekal mempertahankan kejuaraan. - FB MAJLIS SUKAN NEGARA

Sukan SEA: Irfan mula tukar fokus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Selepas mengukuhkan status selaku ‘raja lempar cakera’ Asia Tenggara dengan merangkul emas ketujuh berturut-turut, jaguh negara, Muhammad Irfan Shamsuddin kini mengalihkan fokusnya memburu pingat emas Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Keyakinan itu disuarakan atlet berusia 30 tahun tersebut apabila bukan sahaja mempertahankan kejuaraan, malah berjaya memadam rekod temasya berusia 26 tahun dengan lemparan sejauh 60.23 meter (m).

Catatan baharu yang dilakar Irfan itu mengatasi rekod lama 59.50 meter (m) milik legenda Singapura, James Wong Tuck Yim yang bertahan sejak Sukan SEA Brunei 1999.

Tegas Irfan, sasaran menaiki podium tertinggi di Jepun tahun depan bukan sekadar angan-angan kosong sebaliknya ia adalah misi realistik berdasarkan lonjakan prestasi dan kematangan yang dimilikinya ketika ini.

“Sasaran saya seterusnya lebih besar daripada apa yang saya nampak, gambaran jelas yang saya mahukan iaitu emas Sukan Asia. Itu yang orang panggil munasabah dan bukan angan-angan kosong, bukan sesuatu yang tidak boleh dicapai.

“Jadi, saya harap momentum ini berterusan untuk persiapan ke Sukan Asia tahun hadapan. Tiada apa yang baharu, cuma pendekatan yang berbeza dan saya harap saya boleh kekalkan prestasi di Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

“Prestasi saya ada kemajuan. Apa yang saya nampak dan alami sekarang, badan saya rasa seperti lima tahun lepas, semakin kuat, semakin cergas dan lebih sihat. Jadi, lebih laju,” katanya.

Untuk meraih pingat emas, Irfan perlu kekal konsisten melepasi 61 meter ke atas memandangkan pingat emas yang dilakar pemenang Sukan Asia Hangzhou 2022 dikuasai dua atlet Iran yang meraih emas dan perak menerusi Hossein Rasouli (62.04m) dan Ehsan Hadadi (61.82m) manakala gangsa milik atlet China, Tuergong Abuduaini (61.19m).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI